Thursday 23 May 2013

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA: BERANI MEMBUAT PERUBAHAN???

PENGGABUNGAN KPM DAN KPT KINI TERTULIS NAMA BARU: MENGIMBAU SECEBIS KENANGAN DAN HARAPAN





Mesyuarat Pasca Kabinet yang berlangsung petang Rabu yang di Pengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia 1, Tan Sri Hj Mahyuddin  Yassin telah memaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang dahulunya dua kementerian kini menjadi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Keputusan nama  tersebut telah dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Kabinet Kali Pertama pagi kelmarin. Sebagai penjawat awam, apapun kita biasanya terima apa yang terbaik kerana mungkin di peringkat pucuk pimpinan melihat kesan penggabungan memberi impak yang lebih baik dan berkesan.


Penulis sebenarnya merupakan salah seorang pegawai awam yang terlibat dalam Penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi di peringakat awal, bermula bulan April 2004. Tersentuh juga perasaan betapa semasa bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan Belanjawan, Kementerian Kewangan waktu itu. Apabila YAB Perdana Menteri waktu itu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan pengwujudan Kementerian Baru itu Kementerian Pengajian Tinggi pada majlis pengumuman barisan kabinet baru.



Maka sehari selepas itu, jam 6 petang, penulis salah seorang diarah bertukar tidak sampai 24 jam dan ditempatkan sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Belanjawan), di Kementerian Pengajian Tinggi.  Keesokkannya di arah melapor diri di Damansara dan sekadar menumpang sehari di KPM dan berikutan itu, berpindah randah ke Bangunan Bumi Raya, Jalan Raja laut, Kuala Lumpur pada hari ke 2 dan bersama-sama lebih kurang 12 orang pegawai sahaja waktu itu.



Dengan serba kekurangan keadaan tempat dan tiada meja dan kerusi, perancangan membina struktur Organisasi dan belanjawan di buat dengan tekun dan dalam masa yang sama secara berperingkat-peringkat 2 bulan selepas itu, beberapa pegawai kanan mula melapor diri dan hinggalah berpindah ke Blok E3 Putrajaya setelah membayar sewaan bangunan yang kosong waktu itu.



Tn Hj Syahid Din dan Tn Hj Zainuddin Ngah merupakan 2 org pegawai kanan (M54) waktu itu cukup kommited dengan tugas diberikan dan dibantu oleh kami beberapa orang KPSU. Setelah setahun berlalu, maka mantaplah KPT waktu itu. Nama pegawai-pegawai yang lain yang masih segar termasuklah Tn Hj Hadi (Pentadbiran), EN Amran (Bhg Sumber Manusia, Pn Rosni (Kewangan), Pn Azidah, Tn Hj Hussin dan beberapa orang lagi menjadi rakan-rakan yang bertungkus lumus menyiapkan kerja-kerja awalan hinggalah KPT berkembang dan terus berkembang.



Kemasukan Pegawai-pegawai daripada pelbagai peringkat dan secara berperingkat terus memantapkan KPT. KPT telah menerima 3 Menteri sebelum ini dan 3 KSU sebelum ini. Genap 9 TAHUN 1 BULAN, KPT kini tinggal kenangan. Ini ekoran pengumuman YAB Perdana Menteri untuk Mengabungkan KPM dan KPT menjadi sebuah Kementerian yang besar iaitu KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA dengan Menteri baru 1 dan 2 serta 2 Timbalan Menteri Baru.



KPT sebenarnya telah berdiri kukuh apabila mengjangkau 9 tahun dengan pelbagai kejayaan di dalam dan di luar Negara. KPT begitu fokus terhadap fungsi dan pelan tindakan yang sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa. KPM juga kukuh dengan kekuatan dan pengalaman  yang ada dengan YAB Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Pelajaran sebelum ini.



Namun telah tersurat sejak azali lagi dalam kententuan ALLAH bahawa KPM dan KPT akan bergabung maka bergabunglah semula menjadi sebuah Kementerian Pendidikan Malaysia. Maka kini perancangan re - organisasi masih dalam tindakan JPA dan apa yang pasti ada baik-buruknya pengabungan ini,  Semuanya tergantung pada persepsi masing-masing.



Ianya juga pasti melibatkan pengurangan pegawai-pegawai kanan, pegawai operasi dan kakitangan bawahan. Maka ini adalah proses biasa yang perlu dihadapi walaupun falsafah pendidikan tetap dikekalkan dan operasi Kementerian berjalan seperti biasa walaupun ada sedikit masalah-masalah lain yang timbul. Bab kos penggabungan ini pasti memerlukan bajet agak banyak bagi menukar pelbagai mercu tanda Kementerian baru yang melibatkan pelbagai pindaan keperluan logistik, pengurusan dan pentadbiran.



Apa yang diharapkan KPM baru ini mampu mencipta sebuah perjalanan mendidik modal insan dengan lebih berani, lebih releven dan fokas dan jangan terlalu terikat dengan perkara-perkara remeh. Banyak perkara dasar yang perlu difikirkan dan dicipta dasar lebih menyerlah dan jelas. Bab aliran sekolah yang pelbagai-bagai, harus difikirkan dan berani membuat perubahan supaya sejak kecil anak-anak  bangsa Malaysia dapat ditanamkan sifat sayangkan tanah air. Beberapa isu yang terus terpendam termasuklah Bab bahasa penghantar, bab pegaulan, bab tekanan Ngo Cina,  Dong Zong yang menuntut aliran peperiksaan berbeza dan pelbagai tuntutan demi tuntutan harus ditentang dan tidak dilayan.



Jika kerajaan berlembut dan terus berlembut dalam bab dasar pendidikan yang boleh mencetuskan perkauman dijangka panjang,  malah melayan tuntutan perkauman,maka inilah tanda kegagalan dan tunggulah suatu masa boleh meruntuhkan kerajaan itu sendiri meskipun buat pelbagai perancangan dengan slogan demi slogan. Maka percaturan bab pendidikan tidak boleh sewenang-wenangnya dipolitikkan, dan dibiarkan musuh membuat helah dengan pelbagai alasan. 



Suatu harapan penuh kepada Menteri Pendidikan Malaysia 1 dan Menteri Pendidikan Malaysia 2 dapat menyumbang perancangan lebih strategik, tegas, berani, dan berkesan supaya negara kita ini menghasilkan modal insan yang berjiwa kental, sayang pada tanahair, hormat pemimpin, berakhlak mulia, berdedikasi, tiada ada unsur pengaruh perkauman dan pelbagai gejala negatif.   Semoga harapan ini dapat memberikan sinar dan semangat baru kepada semua lapisan masyarakat yang rata-rata mengharapkan perubahan yang berani lebih-lebih lagi mula menyedari betapa tuntutan akidah  dan akhlak Islam yang sebenar.

Sudah sampai masanya "tarbiyyah Islamiah" ke atas sistem pendidikan dalam arus pendidikan perdana bermula pra-sekolah hendaklah disemai dan diberi penekanan  supaya modal insan yang bakal dilahirkan dan apabila mereka berada di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, masyarakat akan lebih berakhlak mulia.

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda antaranya ' 'Permulaan agama Adalah mengenal Allah". Maka tiada jalan lain melainkan disemai bibit-bibit tauhid kepada pelajar secara berterusan dan diyakini bahawa masa depan generasi Islam khususnya akan menjamin kemenangan dunia dan akhirat.






No comments:

Post a Comment