Monday 22 December 2014


MANFAAT BAGI ORANG YANG BERUZLAH


"  Tidak ada sesuatu yang dapat memberi manfaat pada hati seseorang hanyalah beruzlah (mengasingkan diri). Dengan sebab uzlah itu insan boleh berfikir secara luas". Dalam bab mencari kebesaran Allah, uzlah boleh menonton insan menjadi insaf.."

Mengasingkan diri daripada khalayak ramai disebut uzlah dan adakalanya disebut berkhalwah . Ini disebabkan bergaul dengan pelbagai manusia dengan pelbagai karenah dapat menimbulkan pemikiran duniawi yang tak kesudahan. Malah menyumbang kekotoran hati dan jiwa insan.

Berbeza dengan dengan usaha beruzlah (mengasingkan diri sesekali)boleh menjernihkan hati dan pemikiran yang tertumpu pada kebesaran Allah dan alam yang kekal abadi yakni akhirat. Sebenarnya peralihan alam dunia dan alam akhirat suatu detik yang amat sekejap sekali yakni kematian. Secepat-cepatnya 5 jam hingga selewat-lewatnya 24 jam akan bertemulah Sebuah azab dan persoalan kubur.
Tempoh sakratul maut dan mengguburkan mayat juga sebenarnya suatu perjalanan yang terlalu lama pada "roh", walaupun tempoh di atas dirasakan amat singkat.

Berbalik pada persoalan beruzlah, Nabi Muhammad S.A.W sebelum diangkat menjadi Rasul, baginda sering mengasingkan diri daripada kehidupan persekitaran yang penuh kejahilan. Para sahabat juga tidak terkecuali dan begitu juga para tab'in at tab'in dan para  auliya yang memperuntukan masa untuk beruzlah seorang diri. Tidak tujuan lain kecuali mendambakan diri dan bermunajat disamping mendekatkan diri sebenar-benarnya kerana Allah. Rasulullah pernah bersabda yang membawa
maksudnya
" Berfikir sejenak itu lebih baik daripada ibadah 70 tahun.."

Menurut pendapat Al Syaikh Ibnu Atho'illah', berfikir itu ada 3 macam menurut tingkatan/makam insan yang antaranya;

1.   Berfikirnya orang awam (umum), mereka ini berfikir hanya mengenai kenikmatan dan kurnia yang datang daripada Allah. Sehingga hasil pemikiran ini, ia mempunyai ghairah dan giat untuk melaksanakan ibadah kepadaNya, yang nantinya dengan ketekunan ibadah tersebut tercapailah tingkatan makrifat kepada Allah;

2.   Berfikirnya orang khas (orang-orang tertentu yang mempunyai kedudukan di sisi Allah),mereka ini berfikir mengenai janji dan pahala dari Allah sahaja. Dengan berfikiran seperti itu, mereka giat menjalankan semua perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya, dengan harapan kelak mendapat pahala sebanyak-banyaknya yang telah dijanjikan olehNya;

3.   Berfikirnya orang khas yang lain, mereka ini berfikir mengenai ancaman-ancaman serta seksanya. Dengan berfikir sedemikian mereka dengan ikhlas hati menjauhi semua larangan-larangannya, dengan harapan kelak terhindar dari seksaNya yang pedih.

Lantaran itu perlu difahami bahawa uzlah itu merupakan perantara  (alat) sahaja, sedang yang menjadi tujuan utama orang beruzlah adakah taffakurnya (memikirkan sesuatu supaya kita dekat dan lebih kenal akan Allah). Maka cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui beruzlah.
Segala perbuatan  ini pula tidak perlu  dibangga-banggakan bagi menjauhi sifat riya dan bangga diri. Ini kerana Nafsu jahat dan Iblis sentiasa berbisik mengajak insan bersifat sedemikian.
Semoga Allah kurniakan kita kekuatan melakukan amalan-amalan kerohanian dengan penuh ikhlas semata--mata mencari redhaNYA jua.


No comments:

Post a Comment