Monday 22 December 2014


MANFAAT BAGI ORANG YANG BERUZLAH


"  Tidak ada sesuatu yang dapat memberi manfaat pada hati seseorang hanyalah beruzlah (mengasingkan diri). Dengan sebab uzlah itu insan boleh berfikir secara luas". Dalam bab mencari kebesaran Allah, uzlah boleh menonton insan menjadi insaf.."

Mengasingkan diri daripada khalayak ramai disebut uzlah dan adakalanya disebut berkhalwah . Ini disebabkan bergaul dengan pelbagai manusia dengan pelbagai karenah dapat menimbulkan pemikiran duniawi yang tak kesudahan. Malah menyumbang kekotoran hati dan jiwa insan.

Berbeza dengan dengan usaha beruzlah (mengasingkan diri sesekali)boleh menjernihkan hati dan pemikiran yang tertumpu pada kebesaran Allah dan alam yang kekal abadi yakni akhirat. Sebenarnya peralihan alam dunia dan alam akhirat suatu detik yang amat sekejap sekali yakni kematian. Secepat-cepatnya 5 jam hingga selewat-lewatnya 24 jam akan bertemulah Sebuah azab dan persoalan kubur.
Tempoh sakratul maut dan mengguburkan mayat juga sebenarnya suatu perjalanan yang terlalu lama pada "roh", walaupun tempoh di atas dirasakan amat singkat.

Berbalik pada persoalan beruzlah, Nabi Muhammad S.A.W sebelum diangkat menjadi Rasul, baginda sering mengasingkan diri daripada kehidupan persekitaran yang penuh kejahilan. Para sahabat juga tidak terkecuali dan begitu juga para tab'in at tab'in dan para  auliya yang memperuntukan masa untuk beruzlah seorang diri. Tidak tujuan lain kecuali mendambakan diri dan bermunajat disamping mendekatkan diri sebenar-benarnya kerana Allah. Rasulullah pernah bersabda yang membawa
maksudnya
" Berfikir sejenak itu lebih baik daripada ibadah 70 tahun.."

Menurut pendapat Al Syaikh Ibnu Atho'illah', berfikir itu ada 3 macam menurut tingkatan/makam insan yang antaranya;

1.   Berfikirnya orang awam (umum), mereka ini berfikir hanya mengenai kenikmatan dan kurnia yang datang daripada Allah. Sehingga hasil pemikiran ini, ia mempunyai ghairah dan giat untuk melaksanakan ibadah kepadaNya, yang nantinya dengan ketekunan ibadah tersebut tercapailah tingkatan makrifat kepada Allah;

2.   Berfikirnya orang khas (orang-orang tertentu yang mempunyai kedudukan di sisi Allah),mereka ini berfikir mengenai janji dan pahala dari Allah sahaja. Dengan berfikiran seperti itu, mereka giat menjalankan semua perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya, dengan harapan kelak mendapat pahala sebanyak-banyaknya yang telah dijanjikan olehNya;

3.   Berfikirnya orang khas yang lain, mereka ini berfikir mengenai ancaman-ancaman serta seksanya. Dengan berfikir sedemikian mereka dengan ikhlas hati menjauhi semua larangan-larangannya, dengan harapan kelak terhindar dari seksaNya yang pedih.

Lantaran itu perlu difahami bahawa uzlah itu merupakan perantara  (alat) sahaja, sedang yang menjadi tujuan utama orang beruzlah adakah taffakurnya (memikirkan sesuatu supaya kita dekat dan lebih kenal akan Allah). Maka cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui beruzlah.
Segala perbuatan  ini pula tidak perlu  dibangga-banggakan bagi menjauhi sifat riya dan bangga diri. Ini kerana Nafsu jahat dan Iblis sentiasa berbisik mengajak insan bersifat sedemikian.
Semoga Allah kurniakan kita kekuatan melakukan amalan-amalan kerohanian dengan penuh ikhlas semata--mata mencari redhaNYA jua.


Thursday 19 June 2014

SEBUAH PESANAN KERAMAT DARIPADA UMAR AL KHATTAB R.A


Perhatikanlah Pesanan Syadina Umar Al Khattab kepada tentera Muslimin, Saad bin Abi Waqqas ketika beliau mengutuskannya untuk pembukaan kota Parsi.

".. Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Saad dan juga mereka bersama-samamu supaya bertakwa kepada Allah s.w.t dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya takwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan..


Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhkan maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh=musuh Islam.


Sesungguhnya  orang-orang Islam  telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi kekuatan.


Bilangan tentera kita tidak seramai tentera musuh, kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka jika amalan  maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka!


Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t ke atas musuh-musuh ini dengan kelebihan kita, sudah pasti kita tidak akan dapat mengalahkan mereka....."


Tambah baginda lagi;

Ketahuilah! Bahawasanya bersama-sama dalam perjalananmu, malaikat-malaikat yang mengawasi, dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah s.w.t untuk menjagamu. Mereka mengatahui apa yang kamu lakukan. Janganlah kamu berkata," Pihak musuh lebih hina daripada kita dan mereka tidak akan menguasai kita walaupun kita turut berbuat kejahatan".


Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang pernah berlaku pada kaum bani Israil dahulu yang akhirnya mereka telah dikuasai orang kafir majusi (penyembah api).


Pohonlah daripada Allah kemenangan ke atas nafsu-nafsumu, seperti kamu memohon kemenangan keatas musuh-musuhmu. Aku memohon perkara yang sama ke atas diriku dan dirimu....".


Daripada pesanan tersebut, marilah kita sama-sama memikirkan berapa ramai pemimpin dikalangan kita sama ada pemimpin kecil mahupun pemimpin besar mengambil pengajaran daripada pesanan ini.

Betapa ramainya kita sendiri dan pemimpin Islam yang ada kuasa lebih mengikut nafsu. Malah belum kita mendengar mana-mana pemimpin Islam mengajak kita melawan hawa nafsu.  Malah lebih terdedah mengejar habuan dunia untuk kesenangan dan jawatan serta pangkat. 


Maka tidak hairanlah akhir-akhir ini pemimpin-pemimpin yang benar-benar jujur dan berjiwa pejuang tidak mendapat tempat dan diketepikan. Inilah lumrah dunia akhir zaman seperti yang diungkapkan dalam banyak hadith nabi bahawa akhirnya umat Islam yang ramai, iman mereka seperti buih di lautan, apabila dipukul ombak, mereka berselerak dan musnah dan hancur.

Jika kita menyedari bahawa Allah sentiasa hadir , lihat dan tahu akan setiap gerak geri kita, kemungkinan besar kita lebih berhati-hati. Tapi itulah lumrah iman manusia yang tidak kuat pegangan tauhid, kita akan hanyut dan kalah dan tunggulah azab Allah yang diberi tangguh atau tidak ditangguh. W'alam.

Wednesday 14 May 2014

Hudud : Sultan Brunei Tangkis Kritikan Antarabangsa


 Ketua negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah menangkis kritikan antarabangsa berhubung pelaksanaan hukum hudud di negaranya dan menafikan bahawa tindakan itu satu langkah ke belakang.
Laman web, Mail Online melaporkan Mac lalu, Sultan Hassanal bertitah, semua bangsa perlu bersatu di bawah undang-undang syariah dan baginda menyifatkan kod panel baharu itu merupakan kejayaan besar Brunei.

Hukum hudud yang memperuntukkan hukuman sebat dan rejam sehingga mati bagi kesalahan tertentu, mula dilaksanakan bulan ini.  Sultan Hassanal turut bertitah, pihak luar perlu menghormati sebarang keputusan Brunei sama seperti negara ini menghormati keputusan pihak lain. Kelmarin, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rupert Colville mengkritik pelaksanaan hukum hudud oleh Brunei yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Jelas Colville, pihaknya memandang serius pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan seperti merogol, berzina dan meliwat.  Colville berkata, negara Islam itu sepatutnya tidak melaksanakan langkah tersebut kerana undang-undang antarabangsa menyatakan hukuman rejam sehingga mati misalnya dikategorikan sebagai kejam dan penyeksaan serta tidak berperikemanusiaan, sekali gus diharamkan di bawah perjanjian-perjanjian hak asasi manusia.  Brunei tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1957 dan turut mengharamkan penjualan serta pengambilan minuman keras dalam kalangan penduduk Islam negara ini.


Friday 21 February 2014

MENCARI KEBERKATAN REZEKI

PERSOALAN REZEKI YANG SERING DILUPAKAN....

Perkara yang paling penting dalam  dalam mencari rezeki bukanlah bergantung berapa kadar dan banyaknya kita perolehi tetapi sebaliknya iaitu ada atau tidak keberkatan rezeki itu. Rezeki yang melimpah ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal  dan berkat.

Ada 8 perkara yang menjadi sandaran dalam Islam untuk mencapai keberkatan rezeki yang boleh membawa kebaikan; Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki dimudahkan, berkat serta halal antaranya adalah;

i.   Menjauhi pekerjaan yang haram dan subahat.

ii.  Mengadu masalah rezeki kepada Allah

iii  Memperbanyakkan istighfar

iv.  Bekerja bersunggu-sungguh

v.  Sabar dan banyak membaca "La hawallaa khuawataailla billah;

vi. Tawakkal sepenuhnya pada Allah SWT

vii. Bersedekah dan nafkahkan sebahagian harta 

viii. Tolong Agama Allah dengan menegakkan syariat Islam.

Ketaatan kepada Allah dan tidak melakukan dosa akan membuka rezeki kepada insan manakala orang yang melakukan dosa pintu rezeki akan tertutup. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya', (Riwayat at Tarmizi).

Selain itu dekatkan diri pada Allah melalui ibadah tambahan seperti solat sunnat dhuha dan tahajjud. Nabi Muhammad SAW juga ada bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah SWT  senang melihat hambaNya bersusah payah dalam mencari rezeki yang halal".(Riwayat Adailami).

Banyak lagi nas-nas yang menyokong bahawa persoalan rezeki ini tidak datang sendirinya, pasti perlu melalui keyakinan bahawa "siapa yang memberi rezeki kepada kita? Antara Rasulullah SAW bersabda, " Barangsiapa yang banyak beristigfar, maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kpd kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberikan rezeki yang tidak pernah disangka-sangkanya,'.(Riwayat Imam Ahmad).

Sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Kaya dan memiliki segala khazanah seluruh alam. Manusia pasti memerlukan pertolongan Allah. Mungkin ada persoalan, ada sesetengah manusia tidak beriman, tidak langsung memohon doa kepada Allah dalam bab rezeki, namun rezekinya juga bertambah dan banyak.

Maka kita perlu kembali kepada asas kefahaman bahawa Allah bersifat pemurah. Namun "penyayang" belum tentu diperolehi dimana hari tidak ada guna segala harta dunia, pangkat mahupun anak pinak. Tunggulah nanti bahawa setiap pekerjaan kita pasti dihisab seadil-adilnya. Mudah-mudahan rezeki yang kita perolehi beroleh berkat sehinggalah ke hari akhirat. 

Saturday 25 January 2014

Al Fatihah:  Al Fadhil Dato' Harun Taib telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Dato' Harun Taib telah kembali ke rahmatullah pada jam 12.05 pagi tadi di Hospital Nur zahirah Kuala Terengganu.

Seorang ulama yang disegani sejak muda yang saya kenal hinggalah di akhir hayat, seorang guru, pembimbing yang cukup baik, berhemah apabila bercakap dan merendah diri. dalam parti politik beliau tidak membawa tiada  bermusuhan dengan parti lawan...ini kerana beliau meletak nilai kepimpinan ulama amat tinggi.

Sama-sama kita doakan agar roh beliau ditempatkan dikalangan para roh solihin atas berkat jasa beliau yang berjuang tanpa jemu dalam menegakkan Islam di negara ini..

Al Fatihah.

Thursday 2 January 2014

KEMUNCULAN TAHUN BAHARU 2014. APA HALATUJU KITA???

SEDIKIT PENGISIAN TAHUN BAHARU 2014 UNTUK RENUNGAN


Amma Ba'du, telah menjadi sejarah besar dalam kehidupan insan apabila berlalu sesuatu tahun sama ada tahun masihi mahupun tahun hijriah. Segalanya berlalu dan mengundang diri untuk bermuhasabah dimana "aku" sebenarnya apabila menjelang tiba tahun baharu.

Dalam kehidupan sehari-hari ada kalanya kita melampaui batas melalui percakapan, perbuatan, niat, gerak hati dan seumpamanya. Segala yang kurang baik, terpalitlah sejumlah dosa yang dicatat rapi oleh petugas bernama malaikat. Bagi yang baikpun sama dicatat dan dijulang nama sebagai hamba yang baik dan beriman.

Namun sebagai manusia biasa, pasti kita tidak dapat lari daripada kesilapan dan kesalahan. Alangkah besarnya pintu rahmat Allah sentiasa terbuka pada kita untuk memohon keampunan. Sebab utamanya, Allah azzawajalla beri usia lagi pada kita untuk untuk hidup dan masih ada ruang untuk memohon doa demi doa utk mendapat keampunan.

Dalam kesempatan ini ada ini, izinkan disenaraikan sekurang-kurangnya 7 perkara ringkas yang menjadi sunnah Nabi Muhammad S.A.W untuk diamalkan, antaranya seperti berikut;



Pertama:
Solat Tahajjud; Kemuliaan seseorang mukmin terletak pada tahajjudnya yakni solat sunat tengah malam. Biasanya 8 rakaat dilakukan oleh para ulama....Doa mukmin mudah dimakbulkan berdasarkan beberapa dalil hadith sahih. cahaya keimanan akan terpancar diwajah mereka yg istiqamah dalam ibadah ini,



Kedua:
Membaca Al Quran sebelum terbit matahari. alangkah indahnya insan membaca Al Quran walaupun sedikit tetapi berterusan atau istiqamah sebaik-baiknya setiap hari. Selepas membaca Al Quran, cuba renung-renungkan maksud ayat yang dibaca.



Ketiga:
Jangan tinggalkan Masjid/surau untuk berjemaah terutamanya waktu isya dan subuh. Ini kerana panggilan muadzin ke masjid adalah panggilan Allah untuk orang beriman. Ini kerana masjid/surau tempat penuh barakah yakni rumah Allah.


Keempat:
Jaga solat Dhuha, kerana kunci  rezeki terletak pada solat tersebut. Cuba fahami doa dhuha yang jelas dan terang memohon rezeki dari Allah sama ada dari langit, daratan mahupun lautan dan mohon rezeki didekatkan.


Kelima:
Jaga sedekah setiap hari walaupun sedikit kerana Allah menyukai orang yang suka bersedekah. terutamanya diwaktu pagi. Ianya akan menghapuskan dosa dan menolak bala.

Keenam:
Menjaga Wudhu terus menerus kerana Allah amat menyukai orang yang sentiasa dalam wudhu. Syadina Ali ibnu Talib berkata; orang yang selalu berwudhu sentiasa ia akan merasa dalam solat walaupun ianya tidak solat dan dijaga oleh 2 malaikat dengan doa dari mereka.

ketujuh:
Amalkan istighfar dan zikir setiap masa kerana ianya akan terus terhubung roh kita dengan Allah. Ini kerana Allah sentiasa melihat kita, hati kita dan apa sahaja yang terdetik dari dalam. Alangkah indahnya hati sentiasa beristighfar dan berzikir kerana dosa-dosa kita akan dihapuskan. 

Zikirullah merupakan makanan rohani yang akan membezakan kita antara insan beriman dengan tidak beriman. orang yang tidak mahu berzikir memuji Allah, bagaimana kita hendak menempatkan diri kita sebagai "orang beriman" terutamanya selepas kita dikebumikan. 

Semoga bingkisan ringkas ini sama-sama dimanfaatkan dan diamalkan sesama kita. Semoga Allah memberi cahaya atau nur pada wajah dan hati sanubari kita di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya usia kita untuk hidup semakin singkat, alangkah takutnya saat kematian dan kesakitan sakratulmaut.

Semoga 2014 membawa sinar dalam kehidupan yang bermakna dalam hidup insan. Bantulah kami Ya Allah...sesungguhnya kami mencari redhaMu... Sesungguhnya engkau "sentiasa hadir" dan "melihat kami...."

w'alam