Monday 10 June 2013

KEISTIMEWAAN RASULULLAH SAW MENURUT AL QURAN

RASULULLAH S.A.W PEMBAWA RAHMAT SELURUH ALAM


Syukur tidak terhingga atas nikmat Islam dan Iman yang Allah anugerahkan pada kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. Segala puji bagi bagi Allah tuhan yang Esa dan Selawat dan Salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W,  kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat, tabin at tabin, para wali-wali Allah dan  para pewaris nabi.


Dalam Al Quran Al Karim, terdapat beberapa ayat  yang menunjukkan keistimewaan dan kemuliaan Rasulullah SAW yang secara ringkasnya dapatlah dinyatakan perkara-perkara berikut;

( 1)  Allah telah memanggil Rasulullah SAW dengan panggilan kemuliaan dan kebesaran. Allah berfirman yang bermaksud; ..." Wahai Nabi," ( Surah Al  Ahzab:1), .."Wahai Rasul," ( Surah Al Maidah:41), sedangkan pada para Nabi-nabi yang lain sebelumnya dipanggil dengan nama mereka sendiri.

(2) Allah juga melarang kita daripada memanggil Rasulullah dengan nama Baginda. Sebaliknya kita diperintahkan supaya memanggil dengan gelaran yang penuh hormat. Allah berfirman yang bermaksud; " Jangan kamu memanggil Rasulullah dengan panggilan yang kamu gunakan sesama kamu," ( SUrah Al Nur:63). Ibnu Abbas berkata, " Dahulu para sahabat memanggil Rasulullah SAW , " Wahai Muhammad," Wahai Abu Qasim". Namun apabila turun ayat di atas, merekapun memanggil Rasulullah dengan panggilan, "Wahai Rasulullah, Wahai Nabi Allah..".

(3)  Allah SWT  bersumpah dengan umur Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi umurmu, mereka benar-benar binggung dalam kemabukan". ( Surah alHijr:72). Sedangkan Allah tidak pernah bersumpah dengan umur nabi-nabi lain sebelum ini.

(4) Allah SWT menyatakan bahawa Dia dan para malaikatNya sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW. Allah turut memerintahkan kita agar kita sentiasa berselawat ke atas Rasulullah. Firman Allah yang bermaksud;" Sesungguhnua Allah dan para MalaikatNya sentiasa berselawat ke atas Nabi. Wahai Orang-orang yang beriman! Berselawatlah ke atas Nabi dan ucapkan salam penghormatan buat baginda". (Surah al Ahzab: 56).

Ini menunjukkan betapa martabat yang Allah letakkan pada Rasulullah SAW yang tidak pula diletakkan pada nabi-nabi yang lain mahupun para malaikatNya.  Hanya Rasulullah sahajalah yang memiliki kedudukan ini.

(5)  Allah SWT juga memuji Rasulullah SAW secara umum melalui firmanNya yang bermaksud,"
Demi Bintang apabila ia jatuh,. Teman kamu itu (Nabi Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru". (Surah al Najm:1 -2).

Allah SWT memuji percakapan  Rasulullah SAW melalui firmanNya yang bermaksud," Rasulullah tidak berbicara menurut hawa nafsu. Percakapannya hanyalah wahyu yang diberikan kepadanya."(surah al Najm 3-4).  begitu juga Allah SWT memuji ilmu Rasulullah SAW dengan berfirman mafhumnya :"Baginda diajar oleh  Jibril yang sangat perkasa. Empunya kebijaksanaan yang memperlihatkan rupa asalnya kepada Baginda." (Surah al-Najm : 5-6).

Allah SWT juga memuji hati Rasulullah SAW.  Firman Allah SWT yang bermaksud : "Hati Rasulullah tidak berdusta terhadap apa yang dilihatnya." (Surah al-Najm :11).  Allah SWT turut  memuji penglihatan Rasulullah SAW. Firman-Nya  yang bermaksud :"Penglihatan  Baginda tidak melencong dan tidak pula melampaui batas." (Surah al-Najm :17).  Malah Allah SWT memuji pula akhlak Rasulullah  SAW menerusi firman -Nya yang bermaksud :"Wahai Nabi, kamu sememangnya memiliki akhlak yang agung." (Surah al-Qalam : 4).
 
Dapat kita lihat di sini Allah SWT sendiri memuji  Rasulullah SAW secara umum dan terperinci.  Hanya baginda sahaja yang mendapat pujian  Allah SWT dengan cara sebegini.  Sedangkan para nabi  yang lain tidak dipuji dengan cara begini. Mereka hanya dipuji secara umum.
 

Dipetik daripada kitab Khawatir Diniyyah halaman : 37, Jilid Pertama, Tulisan al-Muhaddith Sayyid Abdullah Siddiq al-Ghumari al-Hasani.








No comments:

Post a Comment