Thursday 27 June 2013

Sekadar renungan :

Pesanan Umar al-Khattab r.a

Perhatikan pesanan Sayidina Umar al-Khattab kepada ketua tentera Muslimin, Sa'ad bin Abi Waqqas ketika beliau mengutusnya untuk pembukaan kota parsi :
Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Sa'ad dan juga mereka yang  bersama-samamu supaya bertaqwa kepada Allah S.W.T adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan.
Aku memerintahkan kepadamu  dan mereka yang bersama-samamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat  kerana sesungguhnya  dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam.
Sesungguhnya orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah S.W.T disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh.  Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi bagi orang Islam  kekuatan.
Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka.  Kelengkapan senjata mereka.  maka jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka!
Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah S.W.T ke atas musuh-musuh ini dengan kelebihan kita, sudah pasti  kita tidak akan dapat mengalahkan mereka.
Ketahuilah!
Bahawasanya bersama-sama dalam perjalananmu, malaikat-malaikat yang mengawasi, dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah S.W.T untuk menjagamu.  Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Maka malunya terhadap apa yang ingin kamu lakukan. Janganlah kamu berkata, "Sesungguhnya pihak musuh lebih hina daripada kita, dan  mereka tidak akan dapat menguasi kita walupun kita turut berbuat kejahatan."
Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti  yang pernah berlaku kepada kaum Bani Israil dahulu yang akhirnya  mereka telah  dikuasai  oleh kafir Majusi (Penyembah Api).
Mohonlah daripada Allah Taala kemenangan ke atas nafsu-nafsumu, seperti kamu memohon kemenangan ke atas musuh-musuhmu.  Aku memohon perkara yang sama ke atas diriku dan dirimu.
Hari ini  pesanan Sayidina Umar itu dianggap sepi.  Kita cuba menentang musuh Islam padahal sikap dan peribadi kita lebih kurang sama sahaja dengan mereka.  mereka mengikut nafsu, kita juga apa kurangnya.  Belum terdengar lagi mana-mana pemimpin Islam yang begitu serius mengajak umatnya melawan hawa nafsu.
Tidak hairanlah mengapa sehingga kini kita terus dikuasai musuh Islam dalam penjajahan bentuk baru (neokolonialisme) baik dari sudut budaya, politik, ekonomi mahupun geografi.  kita kalah dengan musuh zahir (Yahudi dan Nasrani) kerana kita terlebih da.hulu dikalahkan oleh musuh batin iaitu hawa nafsu.  Tegasnya, jihad melawan orang kafir tidak mungkin menjadi realiti kecuali  setelah jihad melawan hawa nafsu dilakukan terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment