Thursday 3 October 2013

Pupuk Pemikiran Lateral, Inovatif

PENJAWAT AWAM PERLU BUAT PERUBAHAN : KSN

Sebagai sebuah perkhidmatan awam yang kompetitif dan berwibawa, setiap penjawat awam perlu   peka kepada corak pemikiran yang lateral dan inovatif.  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, penjawat awam perlu keluar daripada kaedah pendekatan konvensional melalui keberanian  menampilkan idea-idea positif yang unik berdasarkan konsep pemikiran  di luar kotak dan mengelak untuk kekal dalam ruang selesa atau dalam keadaan status quo.




Menurut beliau, bagi memurnikan tujuan tersebut,  ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan penting termasuk menyediakan segala ruang dan peluang kepada setiap warga di dalam organisasi yang diterajui  untuk mempunyai pandangan yang lebih jauh dan kritikal.  Perutusan beliau sempena Majlis Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri semalam.




Ketua-ketua jabatan perlu lebih terbuka tanpa meletakkan sebarang had atau sempadan ruang pemikiran untuk menilai setiap cetusan idea dan inovasi unik yang cuba diperkenalkan oleh kakitangan mereka ke arah  konsep penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti.

Berdasarkan hasil inovasi yang dilahirkan melalui usaha dan kapasiti dalaman kumpulan, ini secara tidak langsung membuktikan sektor awam juga mempunyai modal insan berprestasi tinggi dan tidak ketandusan dari sumbangan idea dan cadangan yang bernas untuk membawa perkhidmatan awam ke tahap lebih cemerlang.

Melalui tema "Kecemerlangan Berterusan Menerusi Inovasi", Strategi Lautan Biru kebangsaan atau "National Blue Ocean Strategy' (NBOS) juga diamalkan di mana dasar-dasar kerajaan dilaksanakan secara cepat menggunakan pendekatan berkos rendah yang memberi impak tinggi kepada rakyat. 

 Tan Sri KSN turut mengajak penjawat awam supaya lebih responsif dan prihatin kepada aspirasi rakyat.  Penjawat awam juga disarankan untuk menambahbaik secara berterusan  sistem penyampaian perkhidmatan awam berlandaskan kepada prinsip-prinsip CTI (Cepat, Tepat dan Integriti) dsan PCI (Produktif, Kreatif dan Inovatif).

Penambahbaikan terhadap  sesuatu sistem dan proses tidak akan membuahkan hasil tanpa diiringi oleh perubahan minda dalam menerima idea-idea baru berserta pandangan-pandangan   yang konstruktif.  Sehubungan itu, Perkhidmatan awam yang berupaya memenuhi tuntutan pelanggan yang kian mencabar dengan menggunakan pendekatan kreatif mampu mengukuhkan keyakinan rakyat  terhadap kerajaan.

Bertitik tolak dari pandangan Tan Sri KSN keseluruhan, maka penjawat awam jangan beku atau takut menyumbang idea-idea kepada ketua-ketua jabatan mereka, teguran positif serta pandangan untuk penambahbaikan bukan meruntuhkan. Kalau meruntuhkan akan tergolong penjawat awam yang tidak bertanggungjawab. 

Jika pandangan membina dan positif amat digalakkan. Jika ada ketua jabatan yang tidak mahu ditegur, tidak boleh lebih daripada tauke, semua terkongkong dan bersifat dikunci...alamat reduplah sesebuah jabatan tersebut. Maka fikirlah apa yang terbaik untuk dilakukan supaya kita menjadi penjawat awam yang bertanggungjawab dan mempunyai prinsip. Jangan takut untuk membuat anjakan paradigma, lebih-lebih lagi dalam soal akidah dan tauhid kepada Allah. w'alam.

No comments:

Post a Comment