Friday, 15 March 2013

MENGAPA MUSIBAH MENIMPA KITA? ADAKAH KITA SENTIASA SELAMAT DARIPADA MUSIBAH???


Orang yang derhaka pada Allah pasti menerima musibah yang amat berat dan bertaubatlah serta kembalilah kepada Allah dengan tauhid yang sebenar.


Menurut seorang Wali Allah, Sheikh Ibn Ataillah Askandari, "Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah  terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah pendeknya penglihatan akal dan mata hati". Tegasnya  apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatan baik Apabila Allah menguji Umat Islam dengan pelbagai tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati dan memeikirkan dengan akal agar tercungkil hikmahnya.

Untuk mencari hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah merupakan adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian merupakan suatu pendekatan Allah dalam mendidik manusia. Tidak ada siapapun yang boleh menghidarkannya kerana hidup ini  hakikatnya adalah suatu ujian. Allah berfirman dalam surah Al Mulk,67:2 yang membawa maksud;

" Dia yang menjadikan mati dan hidup  adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan kamu yang terbaik amalannya".


Musibah merupakan suatu perkara yang  yang tidak disukai oleh manusia.Ianya merupakan sesuatu kejadian seperti kematian, kesakitan, peperangan, kemiskinan, bencana alam, permusuhan dan kegagalan, kesedihan dan seumpamanya.. Tujuan Allah amat jelas bahawa untuk menilai manusia walaupun pada hakikatnya Allah amat mengatahui. Ini selari dengan Hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud;

" Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim).

Manusia yang paling kuat diuji  adalah para Rasul dan diikuti pula dengan pengikut-pengikutnya mengikut tahap keimanan masing-masing. Allah menguji Orang Islam atas sebab- sebab yang berbeza-beza mengikut tahap hubungan mereka dengan Allah. Atas sebab itu wujudnya KEMULIAAN ATAUPUN KEHINAAN seseorang manusia. Umat manusia pasti menghadapi musibah dan atas dasar itu manusia sentiasalah berwaspada kerana keadaan atau tahapnya berbeza-beza.

Terdapat 3 Jenis musibah yang biasa disebut-sebutkan, antaranya adalah Kafarah, keduanya bala dan ketiganya adalah ibtila'. Walaupun perkara ini agak sama, tetapi jenis balasan ini ada sedikit perbezaannya. Kafarah biasanya suatu musibah yang berlaku sebagai balasan atas ketelanjuran sesuatu kesalahan. Ini merupakan satu ujian pembebasan dosa yang dilakukan didunia dan diakhirat nanti terbebaslah kesalahan tersebut,

Musibah yang dipanggil bala pula merupakan suatu pembalasan dari Allah terhadap orang-orang yang jahat yang melakukan kejahatan. Allah menurunkan bala ini sebagai balasan didunia malah diakhirat juga akan terus menerima hukuman Allah sehinggalah golongan ini akan dihumban ke lembah neraka.

Bagi musibah yang dipanggil ibtila' pula dikenakan kepada orang baik ketika dia melakukan kebaikan. Musibah ini sebagai tanda kasih Allah pada hambaNya yang taat. Dengan musibah tersebut makam seseorang akan meningkat naik dan memperolehi ganjaran pahala yang berganda. Maka golongan yang selalu menerima musibah ini termasuklah para nabi, sidiqin dan para ulama yang benar yang berjuang dengan bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, musibah pasti kita hadapi tertakluk setakat mana Allah mahu menguji kita. Sebelum musibah datang, beringatlah bahawa musibah yang paling digeruni adalah saat sakratul maut. Di saat itu betapa tersiksanya insan yang tidak beriman apabila dada berombak dan tersangkut-sangkut roh. Apatah lagi dibuka hijab alam yang akan pergi.

 Maka beruntunglah musibah yang datangpun pada golongan soleh/solehah, meskipun keperitan terasa, tetapi kemanisan alam yang dipertontonkan sudah nampak syurga menunggu. Maka rebutlah sebuah janji Allah ini dengan maksudnya;

" ...Dan apa sahaja musibah yang menimpa ke atas kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar kesalahan-kesalahanmu.." surah Al -Syura 42:30.








No comments:

Post a Comment