Thursday, 19 June 2014

SEBUAH PESANAN KERAMAT DARIPADA UMAR AL KHATTAB R.A


Perhatikanlah Pesanan Syadina Umar Al Khattab kepada tentera Muslimin, Saad bin Abi Waqqas ketika beliau mengutuskannya untuk pembukaan kota Parsi.

".. Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Saad dan juga mereka bersama-samamu supaya bertakwa kepada Allah s.w.t dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya takwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan..


Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhkan maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh=musuh Islam.


Sesungguhnya  orang-orang Islam  telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi kekuatan.


Bilangan tentera kita tidak seramai tentera musuh, kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka jika amalan  maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka!


Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t ke atas musuh-musuh ini dengan kelebihan kita, sudah pasti kita tidak akan dapat mengalahkan mereka....."


Tambah baginda lagi;

Ketahuilah! Bahawasanya bersama-sama dalam perjalananmu, malaikat-malaikat yang mengawasi, dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah s.w.t untuk menjagamu. Mereka mengatahui apa yang kamu lakukan. Janganlah kamu berkata," Pihak musuh lebih hina daripada kita dan mereka tidak akan menguasai kita walaupun kita turut berbuat kejahatan".


Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang pernah berlaku pada kaum bani Israil dahulu yang akhirnya mereka telah dikuasai orang kafir majusi (penyembah api).


Pohonlah daripada Allah kemenangan ke atas nafsu-nafsumu, seperti kamu memohon kemenangan keatas musuh-musuhmu. Aku memohon perkara yang sama ke atas diriku dan dirimu....".


Daripada pesanan tersebut, marilah kita sama-sama memikirkan berapa ramai pemimpin dikalangan kita sama ada pemimpin kecil mahupun pemimpin besar mengambil pengajaran daripada pesanan ini.

Betapa ramainya kita sendiri dan pemimpin Islam yang ada kuasa lebih mengikut nafsu. Malah belum kita mendengar mana-mana pemimpin Islam mengajak kita melawan hawa nafsu.  Malah lebih terdedah mengejar habuan dunia untuk kesenangan dan jawatan serta pangkat. 


Maka tidak hairanlah akhir-akhir ini pemimpin-pemimpin yang benar-benar jujur dan berjiwa pejuang tidak mendapat tempat dan diketepikan. Inilah lumrah dunia akhir zaman seperti yang diungkapkan dalam banyak hadith nabi bahawa akhirnya umat Islam yang ramai, iman mereka seperti buih di lautan, apabila dipukul ombak, mereka berselerak dan musnah dan hancur.

Jika kita menyedari bahawa Allah sentiasa hadir , lihat dan tahu akan setiap gerak geri kita, kemungkinan besar kita lebih berhati-hati. Tapi itulah lumrah iman manusia yang tidak kuat pegangan tauhid, kita akan hanyut dan kalah dan tunggulah azab Allah yang diberi tangguh atau tidak ditangguh. W'alam.

Wednesday, 14 May 2014

Hudud : Sultan Brunei Tangkis Kritikan Antarabangsa


 Ketua negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah menangkis kritikan antarabangsa berhubung pelaksanaan hukum hudud di negaranya dan menafikan bahawa tindakan itu satu langkah ke belakang.
Laman web, Mail Online melaporkan Mac lalu, Sultan Hassanal bertitah, semua bangsa perlu bersatu di bawah undang-undang syariah dan baginda menyifatkan kod panel baharu itu merupakan kejayaan besar Brunei.

Hukum hudud yang memperuntukkan hukuman sebat dan rejam sehingga mati bagi kesalahan tertentu, mula dilaksanakan bulan ini.  Sultan Hassanal turut bertitah, pihak luar perlu menghormati sebarang keputusan Brunei sama seperti negara ini menghormati keputusan pihak lain. Kelmarin, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rupert Colville mengkritik pelaksanaan hukum hudud oleh Brunei yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Jelas Colville, pihaknya memandang serius pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan seperti merogol, berzina dan meliwat.  Colville berkata, negara Islam itu sepatutnya tidak melaksanakan langkah tersebut kerana undang-undang antarabangsa menyatakan hukuman rejam sehingga mati misalnya dikategorikan sebagai kejam dan penyeksaan serta tidak berperikemanusiaan, sekali gus diharamkan di bawah perjanjian-perjanjian hak asasi manusia.  Brunei tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1957 dan turut mengharamkan penjualan serta pengambilan minuman keras dalam kalangan penduduk Islam negara ini.


Friday, 21 February 2014

MENCARI KEBERKATAN REZEKI

PERSOALAN REZEKI YANG SERING DILUPAKAN....

Perkara yang paling penting dalam  dalam mencari rezeki bukanlah bergantung berapa kadar dan banyaknya kita perolehi tetapi sebaliknya iaitu ada atau tidak keberkatan rezeki itu. Rezeki yang melimpah ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal  dan berkat.

Ada 8 perkara yang menjadi sandaran dalam Islam untuk mencapai keberkatan rezeki yang boleh membawa kebaikan; Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki dimudahkan, berkat serta halal antaranya adalah;

i.   Menjauhi pekerjaan yang haram dan subahat.

ii.  Mengadu masalah rezeki kepada Allah

iii  Memperbanyakkan istighfar

iv.  Bekerja bersunggu-sungguh

v.  Sabar dan banyak membaca "La hawallaa khuawataailla billah;

vi. Tawakkal sepenuhnya pada Allah SWT

vii. Bersedekah dan nafkahkan sebahagian harta 

viii. Tolong Agama Allah dengan menegakkan syariat Islam.

Ketaatan kepada Allah dan tidak melakukan dosa akan membuka rezeki kepada insan manakala orang yang melakukan dosa pintu rezeki akan tertutup. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya', (Riwayat at Tarmizi).

Selain itu dekatkan diri pada Allah melalui ibadah tambahan seperti solat sunnat dhuha dan tahajjud. Nabi Muhammad SAW juga ada bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah SWT  senang melihat hambaNya bersusah payah dalam mencari rezeki yang halal".(Riwayat Adailami).

Banyak lagi nas-nas yang menyokong bahawa persoalan rezeki ini tidak datang sendirinya, pasti perlu melalui keyakinan bahawa "siapa yang memberi rezeki kepada kita? Antara Rasulullah SAW bersabda, " Barangsiapa yang banyak beristigfar, maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kpd kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberikan rezeki yang tidak pernah disangka-sangkanya,'.(Riwayat Imam Ahmad).

Sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Kaya dan memiliki segala khazanah seluruh alam. Manusia pasti memerlukan pertolongan Allah. Mungkin ada persoalan, ada sesetengah manusia tidak beriman, tidak langsung memohon doa kepada Allah dalam bab rezeki, namun rezekinya juga bertambah dan banyak.

Maka kita perlu kembali kepada asas kefahaman bahawa Allah bersifat pemurah. Namun "penyayang" belum tentu diperolehi dimana hari tidak ada guna segala harta dunia, pangkat mahupun anak pinak. Tunggulah nanti bahawa setiap pekerjaan kita pasti dihisab seadil-adilnya. Mudah-mudahan rezeki yang kita perolehi beroleh berkat sehinggalah ke hari akhirat.