Ketua negara Brunei Darussalam, Sultan
Hassanal Bolkiah menangkis kritikan antarabangsa berhubung pelaksanaan
hukum hudud di negaranya dan menafikan bahawa tindakan itu satu langkah
ke belakang.
Laman web, Mail Online melaporkan Mac lalu, Sultan Hassanal bertitah,
semua bangsa perlu bersatu di bawah undang-undang syariah dan baginda
menyifatkan kod panel baharu itu merupakan kejayaan besar Brunei.
Hukum hudud yang memperuntukkan hukuman sebat dan rejam sehingga mati bagi kesalahan tertentu, mula dilaksanakan bulan ini. Sultan Hassanal turut bertitah, pihak luar perlu menghormati sebarang
keputusan Brunei sama seperti negara ini menghormati keputusan pihak
lain. Kelmarin, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rupert Colville mengkritik pelaksanaan
hukum hudud oleh Brunei yang dianggap menyalahi undang-undang
antarabangsa.
Jelas Colville, pihaknya memandang serius pelaksanaan undang-undang
Islam tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan
seperti merogol, berzina dan meliwat. Colville berkata, negara Islam itu sepatutnya tidak melaksanakan
langkah tersebut kerana undang-undang antarabangsa menyatakan hukuman
rejam sehingga mati misalnya dikategorikan sebagai kejam dan penyeksaan
serta tidak berperikemanusiaan, sekali gus diharamkan di bawah
perjanjian-perjanjian hak asasi manusia. Brunei tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1957 dan turut
mengharamkan penjualan serta pengambilan minuman keras dalam kalangan
penduduk Islam negara ini.
No comments:
Post a Comment