Thursday 19 June 2014

SEBUAH PESANAN KERAMAT DARIPADA UMAR AL KHATTAB R.A


Perhatikanlah Pesanan Syadina Umar Al Khattab kepada tentera Muslimin, Saad bin Abi Waqqas ketika beliau mengutuskannya untuk pembukaan kota Parsi.

".. Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Saad dan juga mereka bersama-samamu supaya bertakwa kepada Allah s.w.t dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya takwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan..


Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhkan maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh=musuh Islam.


Sesungguhnya  orang-orang Islam  telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi kekuatan.


Bilangan tentera kita tidak seramai tentera musuh, kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka jika amalan  maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka!


Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t ke atas musuh-musuh ini dengan kelebihan kita, sudah pasti kita tidak akan dapat mengalahkan mereka....."


Tambah baginda lagi;

Ketahuilah! Bahawasanya bersama-sama dalam perjalananmu, malaikat-malaikat yang mengawasi, dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah s.w.t untuk menjagamu. Mereka mengatahui apa yang kamu lakukan. Janganlah kamu berkata," Pihak musuh lebih hina daripada kita dan mereka tidak akan menguasai kita walaupun kita turut berbuat kejahatan".


Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang pernah berlaku pada kaum bani Israil dahulu yang akhirnya mereka telah dikuasai orang kafir majusi (penyembah api).


Pohonlah daripada Allah kemenangan ke atas nafsu-nafsumu, seperti kamu memohon kemenangan keatas musuh-musuhmu. Aku memohon perkara yang sama ke atas diriku dan dirimu....".


Daripada pesanan tersebut, marilah kita sama-sama memikirkan berapa ramai pemimpin dikalangan kita sama ada pemimpin kecil mahupun pemimpin besar mengambil pengajaran daripada pesanan ini.

Betapa ramainya kita sendiri dan pemimpin Islam yang ada kuasa lebih mengikut nafsu. Malah belum kita mendengar mana-mana pemimpin Islam mengajak kita melawan hawa nafsu.  Malah lebih terdedah mengejar habuan dunia untuk kesenangan dan jawatan serta pangkat. 


Maka tidak hairanlah akhir-akhir ini pemimpin-pemimpin yang benar-benar jujur dan berjiwa pejuang tidak mendapat tempat dan diketepikan. Inilah lumrah dunia akhir zaman seperti yang diungkapkan dalam banyak hadith nabi bahawa akhirnya umat Islam yang ramai, iman mereka seperti buih di lautan, apabila dipukul ombak, mereka berselerak dan musnah dan hancur.

Jika kita menyedari bahawa Allah sentiasa hadir , lihat dan tahu akan setiap gerak geri kita, kemungkinan besar kita lebih berhati-hati. Tapi itulah lumrah iman manusia yang tidak kuat pegangan tauhid, kita akan hanyut dan kalah dan tunggulah azab Allah yang diberi tangguh atau tidak ditangguh. W'alam.