Sunday 15 September 2013

SEKADAR RENUNGAN BERSAMA

BEBERAPA PERSOALAN BERKAITAN KEHIDUPAN


Amma Ba'du,


Sejarah kehidupan seseorang Insan bergelar manusia sudah pasti diwarnai dengan pelbagai pengalaman yang tidak serupa. Suka duka dalam perjalanan hidup suatu yang lumrah. Manusia diciptakan oleh Allah bersifat " berkehendak". Kehendak manusia kerana adanya jiwa dan nafsu.

Allah sebagai pencipta "berbakti" pada insan, pilihlah apa yang berkehendak, jika ditakdirkan dapat kehendaknya, dapatlah, jika tidak tercapai redhalah apa yang ada. Jauhilah sifat "keakuan" dalam tutur kata kerana siapalah kita sebenarnya. 

 Daripada itu, Guru Murshid sering memberi pesan kepada anak-anak didik mereka seperti berikut;


Tanyalah diri sendiri 5 perkara;

(1) Dari mana aku datang???
(2) Untuk apa aku datang ke dunia  ini???
(3) Setelah hidup di dunia yang terang ini, kenapa aku dimatikan?
(4) Selepas aku mati, kenapa aku dihidupkan semula???
(5) kemanakah aku...ke syurga atau ke neraka???

(maka pilihlah yang kiri atau kanan dengan kerja buat kita dengan jazam).

Renung-renungkanlah  selagi kita diberi usia atau hayat, mudah-mudahan Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita. 

Wallahu a'lam.
      

Tuesday 10 September 2013

Mahabbah Dan Ittiba'

MAHABBAH DAN ITTIBA':SUATU

PENGHAYATAN KEROHANIAN

Amma Ba'du''

Syukur kepada Allah atas nikmat Islam yang diberikan kepada kita. Tidak terhingga juga syukur kepadaNya atas kebaktian Allah pada insan melalui sifat Maani yang 7 iaitu Qudrat, Iradat, Ilmu, hayat ' sama' dan Basar serta Qalam sehingga Insan boleh hidup melunaskan tanggungjawab sebagai hamba. Sesungguhnya Insan bersifat "berkehendak", maka Dialah yang mengatur semua kehendak.



 Mahabah perkataan dari bahasa arab yang bererti  cinta, kasih dan sayang  merupakan satu istilah yang sangat dikenali dan biasa digunakan dalam perbahasan ilmu tasawuf.  Bahkan seringkali tasawuf itu digambarkan sebagai kehidupan yang penuh dengan mahabbah.  Mahabbah  merupakan satu pengukur tahap kekuatan hubungan kerohanian manusia dengan penciptanya. 


 Ia adalah  pengukuh keimanan dan menjadi nilai  tambah bagi kemurnian penghayatan seseorang terhadap ajaran agamanya.  Dengan  agama dapat dihayati dengan penuh kejujuran, kemanisan dan kesungguhan.  Tanpanya ia tidak dapat dihayati dengan baik dan akan dibebani dengan rasa keberatan dan kepayahan.
 

Mahabbah secara umumnya berkait rapat dengan  cenderung hati kepada sesuatu  dengan kecenderungan yang mengandungi makna suka, gembira, hormat dan sebagainya.  Oleh itu mahabbah Allah bermaksud kasihkan Allah SWT iaitu ikatan, tautan dan kecenderungan hati kepada Allah SWT dengan penuh rasa suka, gembira, hormat, memuliakan, memgagungkan dan sebagainya.  
 

Mahabbah  yang benar akan membuahkan atau meninggalkan kesan ittiba'.  Ittiba' bermaksud  mengikuti dan melaksanakan perintah, meninggalkan larangan dan mencontohi sifat  baik dan mulia sesuatu yang diikuti  berasaskan  rasa senang hati, mulia dan bangga  dengannya.  Oleh itu, ittiba' yang merupakan rangkaian, kesan dan alamat mahabbah bermaksud melaksanakan segala suruhan  Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya serta mencontohi segala sifat  kemuliaan-Nya dengan merasa  senang hati, mulia dan bangga dengannya. 

 Oleh itu mahabbah dan ittiba' adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain sehingga ia seolah-olahnya menjadi satu paduan yang tidak terpisah.

Mahabbah mempunyai fadilat yang menempati kedudukan yang sangat mulia dan tinggi dalam kehidupan beragama dan ia mempunyai banyak kelebihan.  Antara kelebihan mahabbah ialah orang yang bersifat mahabbah  mendapat  kedudukan berserta dengan orang yang dicintai.  sekiranya dia mencintai Allah SWT seperti mendapat  perhatian, perlindungan, penjagaan, rahmat, hidayat, taufik dan sebagainya. 

 

Antara kelebihan mahabbah ialah ia adalah salah satu perkara-perkara yang menyumbang kepada rasa kemanisan iman.  Oleh itu  kecintaan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya yang mengatasi kecintaan terhadap orang lain  adalah faktor utama yang membawa kemanisan iman yang merupakan petanda bagi  kesuburan dan kemantapan iman dalam hati.  Selain itu, antara kelebihan mahabbah ialah mendapat kasih sayang Allah  serta pengampunan-Nya. Orang yang mencintai Allah SWT akan mendapat kasih sayang-Nya dan juga pengampunan dari-Nya.
 

Kasih sayang dan pengampunan Allah SWT ini merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan setiap muslim, kerana tanpanya bererti seseorang itu jauh dari rahmat-Nya  dan mendapat kemurkaan-Nya.
 

Mahabbah dari kaca mata segolongan ulama tasawuf merupakan sebahagian dari ahwal iaitu suatu anugerah ilahi kepada seseorang  yang bermujahadah menempuh jalan mendekatkan diri kepada Allah.  Namun ia mempunyai sebab-sebab yang boleh menyampaikan kepada kurniaan Ilahi tersebut.  Antara sebab yang membuahkan mahabbah ialah melihat, memikirkan, mengingati dan merenungi ihsan Tuhan kepada seseorang dan juga makhluk-makhluk lain


Ini kerana jiwa manusia  itu diciptakan mempunyai naluri cenderung dan kasih kepada orang yang berbuat baik kepadanya.  Apabila seseorang itu memikirkan, mengingati dan merenungi ihsan seseroang kepada dirinya maka akan timbul dalam hatinya perasaan kasih kepadanya. Demikian juga apabila  seseorang itu  melihat, memikirkan mengingati dan merenungi  ihsan, nikmat  dan anugerah Tuhan kepada  dirinya secara khusus dan kepada makhluk lain secara umum, maka akan tumbuh dalam hatinya  perasaan kasih dan cinta kepada Tuhannya.

 Semakin banyak dan kuat seorang itu  mengingati dan merenungi nikmat dan kurniaan Allah SWT  terhadap dirinya, maka semakin jelas ihsan Allah SWT  dalam pandangan mata hatinya, dan semakin kuatlah perasaan kasih dan cinta terhadap-Nya. Tanda  mencintai sesuatu ialah banyak mengingatinya, demikian juga sebaliknya iaitu banyak meningati sesuatu membawa kepada perasaan kasih dan cinta kepadanya. 


 Antara sebab lain  yang membuahkan  mahabah ialah keadaan jiwa yang kembali atau mendekati kesucian dan keasliannya.  Jiwa manusia pada asal kejadiannya sudah memiliki mahabbah  dan makrifat terhadap Allah SWT, bahkan mahabbah yang dimilikinya itu adalah mahabbah dzatiyyah (asli dan tidak terkait dengan ihsan-Nya). Jiwa yang melalui proses tazkiyat al-nafs menerusi mjahadah, riyadah, muhasabah, muraqabah dan mushahadah dengan kurnia Allah SWT, akan mendekati atau kembali kepada kesucian dan keaslian dan akan timbul  kembali mahabbah yang sudah dimilikinya.

Mahabbah mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan keimanan.  Dari satu sudut  ia adalah pengukur tahap kekuatan, ketinggian dan kesempurnaan darjat keimanan seseorang.  Iman yang kuat, tinggi dan sempurna ialah iman yang memiliki  mahabbah kepada Allah SWT  dan Rasul SAW mengatasi mahabbah kepada yang lain, maka  imannya belun mencapai tahap kekuatan, ketinggian dan kesempurnaan yang sebenarnya.
kecintaan terhadap Allah SWT dasn Rasul-Nya  berkait dan menjadi lebih lengkap dengan kecintaan terhadap orang-orang yang mencintai kedua-duanya. 


 Maka kerana itu kesempurnaan iman juga dikaitkan dengan kecintaan terhadap mereka. Oleh itu mukmin yang sempurna iamannya ialah mukmin yang bukan sahaja mencintai Allah SWT dan rasul-Nya , tetapi juga mencintai saudara-saudaranya dari kalangan muslimin secara khusus dasn manusia seluruhnya secara umum.


Mahabbah adalah satu bentuk hubungan kerohanian khusus antara hamba dengan tuhannya.  Kewujudan mahabbah ini dapat dibuktikan dan terlihat pada ittiba' iaitu ikutan dan kepatuhan terhadap sesuatu yang dicintai.  Ia menepati  kedudukan yang sangat tinggi dan mulia  dalam hubungan tersebut.  Ia mempunyai kaitan dengan keimanan dan dikira sebagai tanda kekukuhan  dan kesuburannya.  Ia pula menjadi lebih sempurna denga adanya mahabbah  terhadap sesuatu  yang berkait dengan-Nya iaitu kecintaan dan berkasih sayang dengan sesama mukmin secara khusus dan bersifat rahmat terhadap seluruh makhluk secara umum.